Tuesday, June 10, 2008

TERSUNGKUR

Bila Tun Dr Mahathir dan gang nya meletak jawatan ahli UMNO, segera kita dengar mereka digesa melepaskan apa jua jawatan yang dilantik oleh kerajaan. Seruan dibuat oleh askar Perdana Menteri atau mungkin juga diperintah oleh orang-orang kanan Pak Lah.

Dari Sanusi Junid sebagai Presiden UIAM dan Mokhzani (Pengerusi SIC). Gamaknya bagi kumpulan penyeru tu... mereka tidak layak memegang jawatan itu kerana bukan ahli UMNO dan mencemaar duli parti keramat kononnya.

Yang jelas, hanya satu alasan yang mereka pakai.. bukan ahli UMNO, tak ada jawatan. Semua yang pegang jawatan mesti ahli UMNO. Nampak sangat sikap double standard yang diamalkan kerana ramai juga bukan orang UMNO pegang jawatan penting dalam GLC kerajaan.

Mungkin bagi mereka itu, ini adalah soal prinsip dan maruah. Kalau dibiarkan tindak tanduk Sanusi dan Mukhzani tanpa sebarang tindakan, nanti lebih ramai yang ikut jejak mereka. Akhirnya, adalah lebih baik pada pendapat pemerintah Pak Lah, pecat ladalah tindakan lebih tepat.

Tindakan itu seperti 360 darjah berbeza drp apa yang dibuat oleh DAP dan PKR. Parti tersebut sedia mengambil orang BN untuk jawatan kerajaan di negeri yang diterajui parti tersebut atas alasan mereka berkelayakan atau mungkin juga strategi politik.

Apa pun alasannya, ia menampakkan kesan positif kepada parti tersebut kerana rakyat dihidangkan dengan persepsi bahawa kelayakan lebih utama daripada fahaman politik. Nampaknya ini strategi yang agak berkesan.

Sebaliknya, dalam suasana UMNO dan kerajaan yang goyah, tindakan menyingkir Sanusi dan gesaan bertali arus askar perang Pak lah agar Mokhzani juga melepas jawatan mungkin sesuatu yang kurang bijak.

Seperti sarkas, jika ada binatang pertunjukan yang tidak mendengar kata jurulatihnya, takkan terus ditembak mati sebab mahu menghasilkan binatang seperti itu memakan masa yang panjang dan kesungguhan yang tinggi.

Sama jugalah seperti Sanusi dan Mokhzani, mereka ada otak dan keupayaan, kenapa perlu disingkirkan kerana soal politik sedangkan jawatan yang mereka pegang itu lebih menuntut kelayakan lain daripada fahaman politik.

Setakat ini, Mokhzani masih mampu bertahan walaupun ada yang mencadangkan supaya kerajaan tidak menyokong apa juga aktiviti SIC. Menteri Belia pun sudah buat kenyataan tidak akan hadir sebarang aktiviti SIC. Nampaknya, politik lebih utama baginya daripada tanggungjawab memajukan sukan. Padanlah sukan di Malaysia tak ke mana-mana. Dari bola sepak, takraw, badminton, hoki dsb.. semuanya di takuk lama sebab ramai yang pegang jawatan ada agenda tersendiri.

Satu sudah tersungkur, masyarakat yang peka mengikuti perkembangan ini sedang menanti bila pula Mokhzani akan terpaksa melepaskan jawatan dan paling mendebarkan adakah Tun Dr Mahathir juga akan tersungkur daripada jawatan penasihat Petronas.

Tindakan menyingkirkan Tun Dr Mahathir dari jawatan itu adalah percaturan politik peringkat super, mungkin atas perkiraan itu belum ada askar Pak Lah yang sanggup beria-ia benar mahu Tun melepaskan jawatan tersebut.

Silap perhitungan, bukan sahaja Tun terpaksa pergi dalam paksa, sebaliknya Pak Lah juga akan tersungkur lebih awal sebelum proses peralihan kuasa kepada Najid bermula kerana kuasa rakyat telah pun ditunjukkan dalam PRU12. Tidak mustahil rakyat akan bangkit menentang jika Tun diarah berundur kerana sentimen masyarakat terhadap beliau nampaknya masih menebal.

Senario yang berlaku sekarang menunjukkan politik Malaysia tidak matang. Yang menang dan berkuasa ambil segala-galanya, yang kalah dan tidak berupaya perlu menyerah dan pasrah. Lupakah kita kepada ajaran agama bahawa kita semua adalah bersaudara. Wajarnya kita saling bercakaran sesama saudara sedangkan musuh ketawa dan bersorak gembira.

Monday, June 9, 2008

Menang Sorak Kampung Tergadai

Blog Tun Dr. Mahathir (www.chedet.com) terhangat di pasaran sekarang. Dalam tempoh kurang sebulan, sudah mencecah 1 juta pengunjung. Tahniah Tun...anda memang genius. dari dulu hingga sekarang, apa yang anda cakap dan tulis, ramai yang mengikutinya.

Percakapan dan tulisan Tun cukup tepat, tajam. Bukan musuh politik tempatan sahaja hampir pitam bila terkena, pemimpin negara kuasa besar seperti Bush pun tak berapa suka bila Tun belasah mereka sebab ramai pemimpin negara lain setuju dengan apa yang Tun sampaikan.

Akhir-akhir ini, bila Tun tulis pasal Tun Salleh Abas, kenaikan harga minyak dan terbaru soal jambatan bengkok - ramai pengunjung yang memuji Tun. Pendedahan demi pendedahan itu yang mereka mahukan. Rakyat mahu gambaran sebenar daripada apa yang berlaku.

Di pihak pemerintah, nampaknya belum ada panglima yang berani tampil untuk menangkis atau membuat pukulan balas. Mungkin apa yanag Tun tulis itu benar belaka atau Pak Lah belum beri isyarat supaya mereka buat demikian atau mereka memang tak kisah langsung tentang apa yang disampaikan dalam blog.

Nak kata begitu pun kurang tepat sebab Menteri Penerangan sekarang dah beriya-iya benar nak berjumpa dan berbaik-baik dengan penulis-penulis blog sebab kerajaan tahu blog kini memainkan peranan penting dalam penyampaian maklumat.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang apabila keyakinan masyarakat terhadap ketepatan laporan akhbar arus perdana kian terhakis, berita diputar belit untuk kepentingan VVIP sehingga pemberita yang bekerja dengan akhbar berkenaan pun naik meluat dengan akhbar mereka. Tapi kerana ada anak isteri hendak ditanggung, terpaksalah mereka bekerja di situ sehingga ada tawaran lebih baik di tempat lain.

Blog yang semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia mencambahkan semakin banyak idea dan maklum balas. Sewajanya ia menjadikan bumi bertuah ini lebih aman, maju dan makmur untuk semua dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Bagaimanapun, melihat kepada keadaan sekarang, ia menampakkan masyarakat semakin berblok-blok. Ada blok yang sokong Tun, ada blok pertahan Pak Lah, ada blok berkecuali dan tak kurang yang menganggap semua itu sandiwara politik. Esok lusa berbaiklah mereka kerana ibarat pepatah tak ada kawan dan musuh kekal dalam politik.

Dalam kecelaruan sekarang, mengapa tidak blog digembleng sebagai senjata bagi mencapai kebaikan sejagat. Mengkritik dengan niat baik, yang menerima kritikan pula perlu membetulkan kesilapan.

Semua manusia biasa melakukan kesilapan tapi kita tidak boleh membiarkan ia terus berpanjangan. Serba serbi semakin tak kena di negara ini sekarang, dari soal pengurusan kewangan negara, politik, sosial - semua di tahap sederhana. nanti Wawasan 2020 tinggal slogan sahaja, masyarakat dan negara masih di takuk lama.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Masing-masing ada peranan perlu dimainkan. Jika kita tak cukup kualiti untuk jadi pemimpin, lepaskanlah segera supaya rakyat tidak terus merana. Dulu para sahabat Nabi takut bila dipilih sebagai pemimpin kerana tanggungjawab terlalu besar, tapi sekarang berebut-rebut.

Baguslah kalau niat nak jadi pemimpin tu seiring dengan kesanggupan memikul tanggungjawab besar. Tapi berapa kerat yang layak bergelar pemimpin, yang benar-benar menyeru kepada kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Rekod buruk belum sedia nak dipadam.

Apa akhirnya nak jadi dengan kita semua. Adakah kerana kita hidup di dunia maka watak protoganis dan antoganis mesti ada....

Saturday, June 7, 2008

Tambang Oh Tambang

Esok 9/6/08, sesi persekolahan bermula semula. Biasanya setiap kali buka sekolah, ramai yang mengeluh. Dari anak-anak hingga ke ibu bapa. Anak-anak merungut kerana belum puas cuti, banyak kerja yang tak siap lagi, ibu bapa pula merungut sebab kerenah anak-anak dsb.

Kali ini, rungut ibu bapa semakin bertambah. Apa tidaknya, kemungkinan besar tambang bas sekolah akan meningkat. Yang ada ramai anak bersekolah...rungutannya pasti garau kerana terpaksa menelan lebih banyak PAHIT dari MASAM dan MANIS.

Apa pun, kehidupan mesti diteruskan, anak-anak mesti bersekolah supaya jadi orang yang berilmu dan beriman. Mudah-mudahan mereka menjadi orang yang lebih bijak daripada pemimpin sekarang untuk mentadbir negara dengan lebih beramanah dan bijaksana.

Walaupun perit menguruskan kewangan keluarga, soal pembelajaran anak-anak jangan sekali-kali dikebelakangkan. Sebaliknya, ia perlu menjadi antara prioriti utama dalam budget keluarga. Kurang-kurangkanlah benda lain yang kita tak mati tanpa memilikinya seperti Astro.

Walaupun hanya RM50 ++ sebulan, bukan setakat duit keluar, masa pembelajaran anak-anak pun terganggu sebab lebih tertarik dengan pelbagai rancangan daripada mentelaah buku. Sedihnya, banyak sungguh orang Melayu melanggan Astro berbanding bangsa lain. Belanja untuk ini ok, tapi simpanan dan insurans ehem...ehem...kitalah yang corot.

Tambang naik, kos sara hidup naik, darah tinggi naik dan macam-macam lagi naik. Yang susah nak naik antaranya gaji. Hidup makin tak seimbang antara pendapatan dengan perbelanjaan. Kalaulah Allah tunjukkan ketidakseimbangan itu dalam bentuk fizikal kita, majoriti masyarakat mungkin berjalan macam pakai kasut tinggi sebelah rendah sebelah gamaknya.

Mujurlah ketidakseimbangan manusia tidak seperti benda dan bangunan sebaliknya boleh diserap oleh emosi, bolehlah kita bergerak seperti sedia kala. Cuma emosi perlu stabil, kuatkan rohani dengan amalan sembahyang, zikir dsb.

Soal tambang pun ramai yang menipu dan mengambil kesempatan. Pergilah ke stesen bas bila waktu sebegini. Tiket yang harga biasa RM25 boleh dijual sampai RM50. Ramai yang nak mencekik darah. Mana tak menyirap darah...

Meter darah makin naik bila tak ada tempat nak buat komplen segera. Ada pondok penguatkuasa tapi tak ada orang. Kerjalah ikut jadual perjalanan bas sampai tengah malam. Kalau benda lain yang tak penting pun kerajaan boleh spend, takkan untuk kebajikan rakyat tak boleh urusan.

Mungkin sebab pak-pak menteri tak pernah rasa susah naik bas ekspres. Atau mereka dah lupa waktu muda-muda dulu naik pengangkutan awam atau dah tak ada masa nak ambil peduli benda-benda macam tu. Cukuplah sekali dua datang jengok...buat statement, press ambil gambar, esok orang baca dan anggap masalah sudah selesai.

Kesian rakyat Malaysia, dari dulu sampai sekarang masalah tambang tak pernah selesai. Bukan tak boleh buat. Tak susah nak uruskan pun. Syarikat bas seperti Transnasional yang guna computerise system boleh buat, jual ikut harga standard, kenapa tak boleh arah syarikat lain ikut sama. Banyak selesai masalah, ulat-ulat pun lari masuk hutan.

Bukan pak menteri dan pihak berkuasa tak bijak, cuma kita langsung tak boleh faham kenapa tak boleh buat. Susah sangat ke...? Mesti dia orang ada 1001 alasan jawab soalan ni, pokoknya nanti masalah tetap berpanjangan. Tolonglah jangan beri alasan tapi cari penyelesaian.

Kepada ibu bapa, pelajar dan semua yang terpaksa `menderita' kerana kenaikan tambang, banyak-banyaklah bersabar & tingkatkan usaha tambah pendapatan. InsyaAllah dalam setiap kepayahan ada jalah keluar selagi kita tidak berputus asa.

Salam hormat untuk semua....

Friday, June 6, 2008

Warna Negara Ku

Hari Rabu 5 Jun 2008, bertambah lagi satu warna dalam negara ku... warna yang tak berapa indah dilihat. Harga minyak naik melambung, majoriti rakyat membantah tapi pak menteri kata itulah yang terbaik untuk negara dan generasi akan datang.

Buat masa ini, suka atau tidak rakyat paksa telan apa yang dihadapkan. Nak tolak macam mana lagi, harga naik 40% dah. Sudah pasti kos sara hidup semakin menghimpit (kecuali bagi golongan tertentu aje).

Kenalah kita buat penstrukturan semula budget isi rumah walaupun bagi yang memang dah `sakit', tak ada apa lagi yang nak distrukturkan lagi. Anak nak sekolah, makan minum, bil dan apa-apa yang wajib memang dah tak boleh nak usik.

Benda-benda yang harus bolehlah dikurangkan. Mungkin tak ada lagi outing sebulan sekali, cuti sekolah tak melancong lagi, kurang makan di luar, bawa air masak ke pejabat (teh tarik makin mahal & kandungan gula pun tinggi - tak baik untuk kesihatan) dan apa-apa lagi yang sama dengannya.

Itu langkan serta merta yang boleh dibuat tapi tak selesai masalah secara total. Apa pulak penstrukturan jangka sederhana & panjang? Kenalah tambah pendapatan sampingan. Carilah pendapatan pasif... buatlah apa yang patut asal tak jejas kualiti kerja hakiki, tak abai keluarga dan yang paling penting, tak leka dunia sampai lupa akhirat.

Sama-sama kita beringatlah bahawa rezeki tu drp Allah, buatlah apa yang diredai supaya apa yang diusahakan berkat dan ditambah lagi nikmatnya.

Dalam keperitan pasti ada hikmahnya. Sama-samalah berusaha kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah nasib mereka sendiri.

Pedas Masam Manis adalah lumrah dunia....