Blog Tun Dr. Mahathir (www.chedet.com) terhangat di pasaran sekarang. Dalam tempoh kurang sebulan, sudah mencecah 1 juta pengunjung. Tahniah Tun...anda memang genius. dari dulu hingga sekarang, apa yang anda cakap dan tulis, ramai yang mengikutinya.
Percakapan dan tulisan Tun cukup tepat, tajam. Bukan musuh politik tempatan sahaja hampir pitam bila terkena, pemimpin negara kuasa besar seperti Bush pun tak berapa suka bila Tun belasah mereka sebab ramai pemimpin negara lain setuju dengan apa yang Tun sampaikan.
Akhir-akhir ini, bila Tun tulis pasal Tun Salleh Abas, kenaikan harga minyak dan terbaru soal jambatan bengkok - ramai pengunjung yang memuji Tun. Pendedahan demi pendedahan itu yang mereka mahukan. Rakyat mahu gambaran sebenar daripada apa yang berlaku.
Di pihak pemerintah, nampaknya belum ada panglima yang berani tampil untuk menangkis atau membuat pukulan balas. Mungkin apa yanag Tun tulis itu benar belaka atau Pak Lah belum beri isyarat supaya mereka buat demikian atau mereka memang tak kisah langsung tentang apa yang disampaikan dalam blog.
Nak kata begitu pun kurang tepat sebab Menteri Penerangan sekarang dah beriya-iya benar nak berjumpa dan berbaik-baik dengan penulis-penulis blog sebab kerajaan tahu blog kini memainkan peranan penting dalam penyampaian maklumat.
Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang apabila keyakinan masyarakat terhadap ketepatan laporan akhbar arus perdana kian terhakis, berita diputar belit untuk kepentingan VVIP sehingga pemberita yang bekerja dengan akhbar berkenaan pun naik meluat dengan akhbar mereka. Tapi kerana ada anak isteri hendak ditanggung, terpaksalah mereka bekerja di situ sehingga ada tawaran lebih baik di tempat lain.
Blog yang semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia mencambahkan semakin banyak idea dan maklum balas. Sewajanya ia menjadikan bumi bertuah ini lebih aman, maju dan makmur untuk semua dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
Bagaimanapun, melihat kepada keadaan sekarang, ia menampakkan masyarakat semakin berblok-blok. Ada blok yang sokong Tun, ada blok pertahan Pak Lah, ada blok berkecuali dan tak kurang yang menganggap semua itu sandiwara politik. Esok lusa berbaiklah mereka kerana ibarat pepatah tak ada kawan dan musuh kekal dalam politik.
Dalam kecelaruan sekarang, mengapa tidak blog digembleng sebagai senjata bagi mencapai kebaikan sejagat. Mengkritik dengan niat baik, yang menerima kritikan pula perlu membetulkan kesilapan.
Semua manusia biasa melakukan kesilapan tapi kita tidak boleh membiarkan ia terus berpanjangan. Serba serbi semakin tak kena di negara ini sekarang, dari soal pengurusan kewangan negara, politik, sosial - semua di tahap sederhana. nanti Wawasan 2020 tinggal slogan sahaja, masyarakat dan negara masih di takuk lama.
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Masing-masing ada peranan perlu dimainkan. Jika kita tak cukup kualiti untuk jadi pemimpin, lepaskanlah segera supaya rakyat tidak terus merana. Dulu para sahabat Nabi takut bila dipilih sebagai pemimpin kerana tanggungjawab terlalu besar, tapi sekarang berebut-rebut.
Baguslah kalau niat nak jadi pemimpin tu seiring dengan kesanggupan memikul tanggungjawab besar. Tapi berapa kerat yang layak bergelar pemimpin, yang benar-benar menyeru kepada kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Rekod buruk belum sedia nak dipadam.
Apa akhirnya nak jadi dengan kita semua. Adakah kerana kita hidup di dunia maka watak protoganis dan antoganis mesti ada....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment