Tuesday, June 10, 2008

TERSUNGKUR

Bila Tun Dr Mahathir dan gang nya meletak jawatan ahli UMNO, segera kita dengar mereka digesa melepaskan apa jua jawatan yang dilantik oleh kerajaan. Seruan dibuat oleh askar Perdana Menteri atau mungkin juga diperintah oleh orang-orang kanan Pak Lah.

Dari Sanusi Junid sebagai Presiden UIAM dan Mokhzani (Pengerusi SIC). Gamaknya bagi kumpulan penyeru tu... mereka tidak layak memegang jawatan itu kerana bukan ahli UMNO dan mencemaar duli parti keramat kononnya.

Yang jelas, hanya satu alasan yang mereka pakai.. bukan ahli UMNO, tak ada jawatan. Semua yang pegang jawatan mesti ahli UMNO. Nampak sangat sikap double standard yang diamalkan kerana ramai juga bukan orang UMNO pegang jawatan penting dalam GLC kerajaan.

Mungkin bagi mereka itu, ini adalah soal prinsip dan maruah. Kalau dibiarkan tindak tanduk Sanusi dan Mukhzani tanpa sebarang tindakan, nanti lebih ramai yang ikut jejak mereka. Akhirnya, adalah lebih baik pada pendapat pemerintah Pak Lah, pecat ladalah tindakan lebih tepat.

Tindakan itu seperti 360 darjah berbeza drp apa yang dibuat oleh DAP dan PKR. Parti tersebut sedia mengambil orang BN untuk jawatan kerajaan di negeri yang diterajui parti tersebut atas alasan mereka berkelayakan atau mungkin juga strategi politik.

Apa pun alasannya, ia menampakkan kesan positif kepada parti tersebut kerana rakyat dihidangkan dengan persepsi bahawa kelayakan lebih utama daripada fahaman politik. Nampaknya ini strategi yang agak berkesan.

Sebaliknya, dalam suasana UMNO dan kerajaan yang goyah, tindakan menyingkir Sanusi dan gesaan bertali arus askar perang Pak lah agar Mokhzani juga melepas jawatan mungkin sesuatu yang kurang bijak.

Seperti sarkas, jika ada binatang pertunjukan yang tidak mendengar kata jurulatihnya, takkan terus ditembak mati sebab mahu menghasilkan binatang seperti itu memakan masa yang panjang dan kesungguhan yang tinggi.

Sama jugalah seperti Sanusi dan Mokhzani, mereka ada otak dan keupayaan, kenapa perlu disingkirkan kerana soal politik sedangkan jawatan yang mereka pegang itu lebih menuntut kelayakan lain daripada fahaman politik.

Setakat ini, Mokhzani masih mampu bertahan walaupun ada yang mencadangkan supaya kerajaan tidak menyokong apa juga aktiviti SIC. Menteri Belia pun sudah buat kenyataan tidak akan hadir sebarang aktiviti SIC. Nampaknya, politik lebih utama baginya daripada tanggungjawab memajukan sukan. Padanlah sukan di Malaysia tak ke mana-mana. Dari bola sepak, takraw, badminton, hoki dsb.. semuanya di takuk lama sebab ramai yang pegang jawatan ada agenda tersendiri.

Satu sudah tersungkur, masyarakat yang peka mengikuti perkembangan ini sedang menanti bila pula Mokhzani akan terpaksa melepaskan jawatan dan paling mendebarkan adakah Tun Dr Mahathir juga akan tersungkur daripada jawatan penasihat Petronas.

Tindakan menyingkirkan Tun Dr Mahathir dari jawatan itu adalah percaturan politik peringkat super, mungkin atas perkiraan itu belum ada askar Pak Lah yang sanggup beria-ia benar mahu Tun melepaskan jawatan tersebut.

Silap perhitungan, bukan sahaja Tun terpaksa pergi dalam paksa, sebaliknya Pak Lah juga akan tersungkur lebih awal sebelum proses peralihan kuasa kepada Najid bermula kerana kuasa rakyat telah pun ditunjukkan dalam PRU12. Tidak mustahil rakyat akan bangkit menentang jika Tun diarah berundur kerana sentimen masyarakat terhadap beliau nampaknya masih menebal.

Senario yang berlaku sekarang menunjukkan politik Malaysia tidak matang. Yang menang dan berkuasa ambil segala-galanya, yang kalah dan tidak berupaya perlu menyerah dan pasrah. Lupakah kita kepada ajaran agama bahawa kita semua adalah bersaudara. Wajarnya kita saling bercakaran sesama saudara sedangkan musuh ketawa dan bersorak gembira.

No comments: